BARCELONA 12 Mei – Mercedes meneruskan musim cemerlang apabila Lewis Hamilton menakluk Grand Prix Formula Satu (F1) Sepanyol hari ini pada ketika rakan sepasukannya, Valtteri Bottas menamatkan saingan di tangga kedua.
Ini kali kelima berturut-turut pasukan itu berjaya menguasai kedudukan 1-2, sekali gus mengetepikan pemandu Red Bull, Max Verstappen di tempat ketiga manakala Sebastian Vettel dari Ferrari di tempat keempat.
Hamilton merampas kedudukan pendahulu pemandu dunia daripada Bottas selepas melakar kemenangan ketiga musim ini, ke-76 keseluruhan dan keempat di Sepanyol.
“Saya perlu berterima kasih kepada pasukan ini atas usaha hebat mereka.
“Ini adalah sejarah, kami menguasai kedudukan 1-2 buat kali kelima, saya sangat bangga!.
“Cabaran agak sukar dalam empat perlumbaan pertama. Kami mempunyai kereta yang bagus namun ia tidak selalunya berjalan baik, jadi saya gembira kami berjaya mengatasi kesukaran itu dalam setiap perlumbaan,” kata Hamilton. – AGENSI











