Penjenayah tidak sempat berjoli hasil samun - Utusan Malaysia

Penjenayah tidak sempat berjoli hasil samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dua penjenayah tidak sempat berjoli menggunakan wang hasil daripada aktiviti samun yang dilakukan selepas kedua-dua mereka berjaya diberkas polis kurang dari 12 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, kedua-dua lelaki berkenaan telah memecah masuk ke dalam sebuah rumah di Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 2.30 pagi tadi sebelum mengarahkan penghuni rumah tersebut menyerahkan barangan berharga.

“Kedua-dua suspek turut mengugut kesemua mangsa yang terdiri daripada sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 40-an, anak mereka yang berusia 6 tahun, serta ibu kepada si isteri yang berusia dalam lingkungan 60-an dengan menggunakan sebilah pisau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek yang masing-masing berusia  dalam lingkungan 25 ke 30 tahun itu kemudiannya bertindak melarikan beberapa barangan milik keluarga tersebut yang dianggarkan bernilai RM60,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Susulan laporan yang dibuat oleh keluarga berkenaan, sepasukan anggota serta pegawai penyiasat kes dari Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail telah melakukan serbuan ke atas dua buah rumah di Kampung Sungai Penchala, Segambut pada pukul 12 tengah hari tadi dan berjaya menahan kedua-dua suspek.

“Semakan yang dilakukan mendapati salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 11 rekod jenayah lampau melibatkan kegiatan samun, pecah rumah dan mencuri.

“Beberapa barangan yang dipercayai disamun seperti empat unit telefon bimbit, tiga utas jam tangan serta beberapa keping dokumen milik mangsa dan sebilah pisau yg dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui dalam serbuan tersebut,” jelas beliau.

Menurut Ruslan, pihak polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah rumah di kawasan Taman Tun Dr. Ismail dengan penangkapan kedua-dua suspek tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau apa-apa kejadian lain yang bersangkutan, boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau Ketua Polis Balai Taman Tun Dr. Ismail, Deputi Superintendan Mohsin (019-858 2219),  Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Hafiz (017-500 6474) dan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Daniel (012-335 9653).  

“Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini