‘Jauhkan Coutinho daripada Chelsea’ - Utusan Malaysia

‘Jauhkan Coutinho daripada Chelsea’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 12 Mei – Penyokong Chelsea menyifatkan spekulasi yang mengaitkan Eden Hazard bakal diganti dengan Philippe Coutinho sebagai ‘menakutkan’.

Blues hampir pasti kehilangan Hazard kepada Real Madrid selepas Zinedine Zidane sudah memulakan langkah memancing perancang utama Belgium itu sejak beberapa bulan lalu.

Los Blancos bersedia menawarkan 100 juta pound (RM540 juta) kepada Blues, dan bagi menampung ketiadaan Hazard, pemilik Chelsea, Roman Abra movich mahu kelab mendapatkan perancang utama Barcelona, Coutinho.

Memuatkan artikel berkaitan…

Coutinho, 26, gagal menyerlah di Camp Nou sejak menyertai pasukan itu dari Liverpool menerus perpindahan lumayan 142 juta pound (RM768 juta), tahun lalu.

Chelsea mampu menjadi penyelamat kepada Coutinho, yang cuba disingkirkan oleh Barcelona hanya semusim selepas menyertai kelab Catalan tersebut.

Bagaimanapun kelab London itu berharap, sekatan pembelian pemain yang dikenakan oleh badan bola sepak dunia, FIFA dibatalkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi membolehkan mereka memulakan pencarian pengganti Hazard.

Penyokong Blues bagaimanapun tidak gembira jika Coutinho menyertai mereka, biarpun bintang tengah Brazil itu amat menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris sepanjang lima tahun bersama Liverpool.

“Ia sangat membimbangkan apabila spekulasi Coutinho menjadi semakin kuat dari hari ke hari…Jauhkan pemain yang ‘dibayar berlebihan’ itu daripada kelab ini. Dia tidak mungkin mampu menyarung kasut Hazard,” tulis seorang peminat di Twitter.

“Membaca begitu banyak berita yang mengaitkan Coutinho sebagai pengganti Hazard. CAS patut menolak rayuan Chelsea supaya kami tidak payah membeli pemain seperti ini,” tulis seorang lagi pengguna Twitter.

Penyokong ketiga pula menulis: “Tolonglah, Coutinho terlalu berlebihan. Dia tidak langsung berada dalam kelas Hazard. Harap sekatan ke atas Chelsea dikekalkan”.

Penyokong Chelsea juga bimbang melihat cara Coutinho meninggalkan Liverpool kerana menganggap dia bukanlah pemain yang setia kepada kelab. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini