KUALA LUMPUR 12 Mei – Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun sebuah banglo di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini hari ini.
Kes terbabit berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 12 jam dengan penahanan dua suspek masing-masing berusia 25 dan 30 tahun di Kampung Sungai Penchala, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian samun itu pada pukul 2.30 pagi sebelum menggerakkan sepasukan polis bagi menjalankan risikan dan operasi.
“Kedua-dua suspek kemudian ditahan di dua buah rumah berasingan di kawasan sama. Pasukan yang diketuai Ketua Polis Balai TTDI itu turut menjumpai semula beberapa barang yang dipercayai disamun di rumah mangsa dengan anggaran kerugian kira-kira RM60,000.
“Barang yang ditemukan adalah empat buah telefon bimbit, tiga utas jam tangan serta beberapa dokumen milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ruslan memberitahu, pihaknya juga merampas sebilah pisau yg dipercayai digunakan dalam kejadian samun tersebut.
“Semakan rekod lampau mendapati salah seorang saspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau pelbagai jenayah iaitu samun, pecah rumah dan curi.
“Kedua-dua saspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Ruslan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields 03-22979222 atau Ketua Polis Balai TTDI, Deputi Superintenden Mohsin (019-858 2219) dan Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintenden Hafiz (0175006474) – UTUSAN ONLINE











