Perbincangan dapat respons positif PM - Ahmad Samsuri - Utusan Malaysia

Perbincangan dapat respons positif PM – Ahmad Samsuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 12 Mei – Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan perjumpaan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan kepentingan Terengganu mendapat respons positif daripada Perdana Menteri.

Ahmad Samsuri berkata, menerusi pertemuan empat mata selama sejam itu, kerajaan negeri juga akan memperhalusi pandangan-pandangan Dr. Mahathir yang boleh dilaksanakan terutama dalam isu melonjakkan ekonomi masyarakat desa.

“Secara umumnya, pertemuan dan perbincangan itu sangat menarik dan mendapat respons positif YAB Perdana Menteri terhadap apa jua yang diutarakan termasuklah pandangan beliau tentang bagaimana kita seharusnya mengambil langkah mengukuhkan ekonomi masayarakat desa yang memerlukan satu lonjakan dalam tindakan pihak kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Pusat

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan mengambil kira kedudukan Terengganu yang menerima wang tunai petroleum sejak tahun 1974 tetapi tidak banyak yang berubah dari segi pergerakan struktur masyarakat. Ini antara perkara yang saya bincangkan dengan PM untuk mendapatkan pandangan beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam proses mengukuh dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Publisiti & Penyertaan Awam dan Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Deas), Datuk TPr. Rokibah Abdul Latif; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid; Pegawai Kewangan negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.

Kelmarin, Ahmad Samsuri dalam laman sosial Facebook dan Instagram miliknya berkongsi mengenai perjumpaan santai dengan Dr. Mahathir di Pejabat Perdana Menteri di Putrajayaa.

Menurut Ahmad Samsuri, ia antara lain membincangkan hala tuju pelaburan luar dengan Terengganu, projek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di bawah Teras V, isu wang tunai petroleum, baki pinjaman oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), projek Khazanah di Terengganu dan pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini