SUDAH seminggu umat Islam menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Seperti lazimnya, dalam bulan suci ini, seseorang itu akan bersungguh-sungguh menjaga amalan dan ibadah agar pahala puasa tidak terjejas.
Yang paling perlu dijaga ialah hati. Jika hati `rosak’ maka rosaklah nilai keseluruhan kehidupan manusia. Menurut hadis Rasulullah SAW, “Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada segumpal darah iaitu hati yang apabila keadaannya baik dan mulus akan baik dan mulus seluruh anggota badan. Dan kalau rosak hatinya akan rosaklah seluruh anggota badan.”
Berdasarkan hadis tersebut para ulama membuat kiasan iaitu hati umpama raja yang ditaati dan ibarat pemimpin yang disegani. Seluruh anggota badan pula ialah rakyatnya. Dalam hati manusia itu tersimpan harta yang sangat bernilai iaitu permata akal dan makrifat atau disebut ‘mata hati’.
Dari segi ilmu metafizik pula yang paling penting dijaga ialah minda bawah sedar/minda segar (hati/roh/jiwa). Hal ini berlaku kerana ‘dunia dalaman’ mempengaruhi ‘dunia luaran’. ‘Dunia dalaman’ ialah fikiran dan hati. `Dunia dalaman’ yang baik akan menzahirkan ‘dunia luaran’ iaitu fizikal dan personaliti yang baik atau positif. Setiap tindakan adalah berdasarkan emosi yang ada dalam jiwa seseorang.
Sememangnya hati wajib dipelihara iaitu dengan menjaga dan merawatnya daripada terhinggap kekotoran, serta memuliakannya agar permata yang ada dalamnya tidak tercemar. Kerana apa?
Kerana pertama, hati adalah tempat malaikat dan syaitan berbisik memberi ilham kepada manusia sama ada memilih membuat kebaikan atau keburukan.
Walaupun dalam hidup pernah diuji dengan peristiwa yang amat menyedihkan perlu dibina semula kekuatan hati dan kekuatan diri dengan mendekatkan diri kepada Allah. Perlu melihat semua kisah pahit hidup itu sebagai satu rahmat daripada Allah yang mahukan seseorang itu menjadi hamba-Nya yang dekat dengan Allah. Jangan tersesat dengan bisikan syaitan kerana bisikan itu boleh memesongkan hati dengan bersangka buruk kepada-Nya.
Kedua, kerana hati sering berperang dengan akal dan nafsu sama ada tewas dengan nafsu atau bertindak mengikut akal. Mata boleh dipejamkan. Apabila mata terpejam, seseorang itu berhenti memandang kerana tidak nampak apa-apa. Mulut pun boleh dikawal. Tutup mulut maka mulut pun berhenti bercakap.
Begitu juga telinga. Kita boleh kawal dengan menutup telinga bagi mengelaknya daripada mendengar perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Namun hati tidak boleh dipegang. Detik hati berjalan atas rencananya dan nafsu sentiasa memainkan peranan untuk merosakkannya.
Justeru, hati perlu sentiasa dirawat melalui beberapa perkara iaitu mengawal apa yang didengar melalui telinga, mengawal apa yang difikirkan melalui minda, mengawal apa yang diperkatakan melalui mulut dan lidah serta mengawal apa yang dipandang melalui mata.
Ketiga, hati seperti siang dan malam yang hidup sentiasa silih berganti dan tidak boleh dihentikan daripada berfungsi. Selagi jasad hidup selama itulah hati terus berdetik dan berbisik untuk lakukan kebaikan atau kejahatan. Jom berdoa kepada Allah setiap hari supaya hati ini sentiasa lembut dan suka kepada kebaikan, juga mudah melihat kelemahan diri sendiri.
Keempat, untuk mengubati hati amat sukar kerana ia tidak boleh dipegang dengan tangan. Lebih berat lagi ada waktunya seseorang itu tidak tahu bahawa hatinya menghidap pelbagai `penyakit’ yang membawa kepada dosa. Akibatnya boleh mengurangkan pahala ibadah serta merosakkan hubungan silaturahim sesama manusia. Rendahkan hati dengan memohon maaf dan mudahkan hati untuk memaafkan. Caranya dengan melupakan kisah lampau yang mengguris hati. Ramai orang menggunakan masa lampau sebagai alasan takut untuk meneruskan kehidupan.
Jadikan peristiwa lampau sebagai pengajaran untuk panduan hidup pada masa hadapan, supaya kita mampu menjaga hati orang lain seterusnya tidak mengulang kesilapan sama.
Kelima, hati mudah berbolak-balik, bergolak dan tergelincir. Dalam hati tempat tersimpannya semangat. Jika hati lemah, semangat pun akan menurun dan demikianlah sebaliknya. Sayangi dan hargai diri sendiri.
Apa yang diberi, itu yang akan diperoleh. Katakan kepada diri sendiri:“Saya suka kehidupan saya. Saya mahu menjadi seorang yang hebat di mata orang dan di mata Allah.” Sesungguhnya, kuatnya sebatang pokok bergantung kepada akar tunjangnya. Jika akar tunjangnya kuat walaupun dipukul ribut taufan, pokok itu tidak mudah tumbang. Demikianlah kekuatan fizikal manusia bergantung kepada hati. Jika hati kuat, walaupun sehebat mana cabaran dan dugaan yang melanda, kita tidak mudah rebah dan patah semangat.
Bagi orang beriman, mereka sangat takut jika hati tergelincir. Sebab itu mereka menangis kerana mahu menjaga kesucian hati dengan manusia. Mereka juga menangis kerana ikhlas dalam beribadah kepada Allah.
Tujuan mereka hanya untuk mendapatkan reda Allah, bukan mendapat pujian dan penghargaan manusia. Oleb sebab itu saring hati dan fikiran dengan membenarkan perkara positif sahaja berada di jiwa, roh dan minda. Muhasabah diri. Lihat diri jangan asyik melihat kesilapan orang. Berprasangka baik kepada Allah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”











