Geng Plastik Hitam: Peniaga jangan cabar peraturan - Utusan Malaysia

Geng Plastik Hitam: Peniaga jangan cabar peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Para peniaga di negeri ini diingatkan agar tidak mencabar peraturan dengan melakukan jualan makanan di dalam plastik hitam kepada umat Islam yang tidak berpuasa. 

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, semua pihak terutamanya pengusaha Islam perlu patuh kepada peraturan yang telah termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah.

“Di dalam enakmen tersebut, ada peruntukan yang melarang penjualan makanan pada waktu siang hari kepada premis yang diusahakan orang Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua pihak perlu menghormati enakmen tersebut dan jangan sesekali mencabarnya sehingga mencemarkan kesucian bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Silibin di sini petang semalam.

Tambah Asmuni, tindakan modus operandi jualan ‘plastik hitam’ itu merupakan satu tindakan yang biadap dan tidak menghormati kemurnian serta kesucian bulan puasa itu.

Dalam majlis tersebut juga, Asmuni yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut mengedarkan apron dan topi kepada semua peniaga yang berniaga di bazar tersebut.

Menurut Asmuni, penjualan makanan dalam plastik hitam tersebut tidaklah berleluasa dan ia hanyalah kes terpencil yang dilakukan peniaga yang tidak menghormati undang-undang yang diperuntukkan.

Katanya, serbuan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) baru-baru ini adalah di premis yang telah sekian lama menjalankan operasi tersebut namun mereka tidak mengendahkan nasihat biarpun beberapa kali serbuan telah dilakukan.

“Kerajaan tidak menghalang untuk mana-mana berniaga, tetapi perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan terutama di bulan Ramadan.

“Contohnya, pada bulan Ramadan ini mereka sepatutnya hanya membuka premis mereka di waktu petang dan tidak menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa,” jelasnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini