PENYERANG import baharu Selangor, Ifedayo Olusegun tidak mahu dilabel sebagai pengganti kepada penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia yang terpaksa diketepikan dalam skuad Gergasi Merah itu akibat kecederaan.
Sebaliknya, pemain kelahiran Nigeria itu menegaskan, kehadirannya serta peranan yang digalasnya dalam skuad kendalian B. Sathianathan itu adalah berbeza meskipun misinya tetap sama iaitu membantu Selangor menamatkan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan positif.
“Saya hadir dalam pasukan Selangor sebagai seorang pemain yang baharu dan tidak mahu dianggap menggantikan sesiapa termasuk Rufino (Segovia). Corak permainan saya dan Rufino adalah berbeza.
“Buat masa ini, saya hanya ingin fokus pada sesi latihan dan harapnya dapat menyesuaikan diri dengan pasukan ini secepat mungkin kerana kami akan mengharungi aksi penting Liga Super menentang Kedah minggu depan.
“Mengenai tekanan, saya anggap ia adalah perkara yang normal tetapi saya optimis dapat menggalas tugas yang dipertanggungjawabkan oleh jurulatih dan pihak pengurusan sebaik mungkin,” kata Olusegun semalam.
Sebagai rekod, nama Olusegun bukanlah asing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) kerana dia pernah mewakili pasukan Melaka United tahun lalu selain Felda United ketika di bawah bimbingan Sathianathan pada musim 2017.
Penyerang berusia 29 tahun itu telah dibawa masuk ke dalam skuad Gergasi Merah sebaik sahaja jendela perpindahan kedua Liga M dibuka pada 2 Mei lalu dengan kontrak sehingga penghujung musim ini.











