KOTA BHARU 10 Mei – Menggulingkan Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bukanlah agenda utama ahli Datuk Seri Amril Aiman Abd. Aziz.
Ahli perniagaan dari Kota Bharu itu sebaliknya menegaskan, tujuan utama dia menawar diri sebagai Presiden KAFA adalah untuk menyelamatkan The Red Warriors (TRW) yang sedang bergelut masalah kewangan kronik ketika ini.

“Niat utama saya ialah memperbaiki dan memulihkan semula Kelantan daripada segala masalah yang sedang berlaku ketika ini.
“Jadi saya harap Bibi Ramjani faham (hasrat menyelamatkan pasukan). Saya juga ingin tegaskan disini bahawa tiada sengketa antara kami,” katanya.
Akhbar tempatan semalam melaporkan, Bibi Ramjani mahu Amril Aiman segera bertemu Timbalan Presiden KAFA Datuk Seri Affandi Hamzah sekiranya berminat mengambil alih pucuk pimpinan badan induk itu.
Amril Aiman memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat dengan Affendi bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, pertemuan itu amat penting bagi membolehkannya mendapatkan maklumat lengkap mengenai KAFA seterusnya membolehkan persiapan awal dilakukan.
“Saya harap proses peralihan kuasa ini berjalan dengan lancar bagi memastikan prestasi TRW dapat dipulihkan semula
“Namun begitu, harus diingat proses ini mungkin mengambil masa yang agak lama antara sebulan hingga ke dua bulan,” kata usahawan muda berusia 31 tahun itu.











