LONDON 10 MEI – PEMINAT bola sepak England berang apabila industri pelancongan mengambil kesempatan daripada final Liga Juara-Juara apabila berlaku peningkatan mendadak terhadap harga tiket perlawanan, penerbangan dan bilik hotel.
Penyokong Tottenham dan Liverpool merungut apabila dikenakan lebih daripada 1,500 pound (RM8,100) bagi tiket penerbangan pergi dan balik ke Madrid menggunakan penerbangan EasyJet jika mereka mahu menyaksikan aksi final Liga Juara-Juara pada 1 Jun ini (2 Jun waktu Malaysia).
Peminat juga terdesak untuk mencari hotel penginapan yang mengenakan caj bayaran kurang daripada 1,000 pound (RM5,400) satu bilik. Bilik paling murah di Hotel Hilton Madrid ialah 2,301 pound (RM12,400), sedangkan bilik yang sama hanya dikenakan caj bayaran sebanyak 124 pound (RM669) untuk minggu berikutnya.
Laman sesawang pengguna, Moneysavingheroes mendapati sebuah bilik tidur kecil di sebuah pangsapuri mengenakan caj 2,500 pound (RM13,500) dan bilik paling murah yang boleh didapati tidak kurang daripada 1,000 pound (RM5,400).
Lebih teruk lagi tiket perlawanan dijual hingga 90,000 pound (RM486,000) di pasaran gelap sedangkan harga tiket rasmi paling rendah adalah 50 pound (RM270).
EasyJet menerima reaksi negatif yang tersebar di media sosial selepas datuk bandar Liverpool, Steve Rotheram menyifatkan tindakan syarikat penerbangan itu sebagai memalukan.
“EasyJet menaikkan harga hingga 683 peratus bagi tiket pergi dan balik ke Madrid yang disifatkan mahu mengambil kesempatan terhadap peminat bola sepak. Ini bukan sesuatu yang baru, namun, sangat memalukan,” kata Rotheram.
Meskipun penyokong Tottenham mempunyai banyak pilihan, namun, EasyJet tetap meletakkan harga 1,500 pound (RM8,100) dari Gatwick ke Madrid iaitu berlepas pada hari final dan pulang keesokkan hari.
Ramai penyokong terpaksa mengubah haluan penerbangan mereka bagi mengurangkan kos meskipun terpaksa menempuh perjalanan yang lebih jauh. Dari Liverpool, ada satu pilihan dengan kos 587 pound (RM3,174), namun, terpaksa transit di Bucharest, Romania. Tempoh perjalanan ke Madrid mengambil masa 15 jam dan pulang adalah 21 jam.
“Mereka sepatutnya memperbanyakkan penerbangan. Harga terlalu mahal,” kata penyokong Tottenham, Anthoulla Achilleos. – AGENSI











