Bola sepak ubah nasib Fahmi - Utusan Malaysia

Bola sepak ubah nasib Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN untuk bergelar pemain bola sepak profesional tidak semudah disangka, kerana selain terpaksa mendedikasikan hidup di atas padang, Muhammad Alif Fahmi Rasmid juga pernah berdepan kesukaran untuk membeli peralatan.

Fahmi yang merupakan penjaga gol muda Kedah bagaimanapun menegaskan, dia enggan menoleh kebelakang dan nekad menjadikan bola sepak sebagai platform terbaik untuk mengubah nasib keluarganya.

Kata Fahmi, dia tidak dilahirkan dalam dulang emas, malah tanpa rasa segan silu pemain skuad Belia Kedah itu me­ngakui, kadangkala ayahnya terpaksa berhutang semata-mata mahu membantu mencapai cita-citanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dilahirkan sebagai anak nelayan. Ibu dan ayah saya orang susah. Saya anak sulung dan amat berharap dapat agar bola sepak dapat membantu saya memberi kesenangan ibu bapa.

“Saya mengaku, adakalanya nak beli but, sarung tangan atau pakaian sukan amat susah sehinggakan ayah sanggup berhutang demi memberi laluan kepada saya meneruskan karier dalam bola sepak. Saya berharap dapat membawa hasil kepada keluarga suatu hari nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menceritakan pembabitan dalam bola sepak, Fahmi pernah berdepan detik sukar ketika menyertai skuad belia Perlis Januari lalu apabila dia tidak dibayar gaji selain terpaksa menjalani latihan di Kuala Lumpur.

“Kedah menyelamatkan karier saya selepas saya duduk di Kuala Lumpur dengan pasukan belia Perlis.

“Ketika menyertai belia Perlis, saya tidak dibayar gaji dan terpaksa menampung perbelanjaan harian menggunakan duit poket sendiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, berkongsi titik permulan dalam kariernya, Fahmi memberitahu pada mulanya dia tidak mendapat tempat bersama kesebelasan utama pasukan di sekolahnya.

Bagaimanapun, berkat usaha anak muda itu berjaya diserap masuk ke dalam skuad Bawah 17 tahun di Sekolah Sukan Ne­geri Perlis.

“Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan untuk bermain dalam B-17 dalam kempen Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) namun rezeki setakat di peringkat separuh akhir.

“Sejak itu saya mula diberi kepercayaan dan sehingga sekarang masih bermain dalam skuad utama Belia Kedah.

“Tahun lalu, saya mendapat panggilan Sukma 2018 dan menyertai kem latihan bersama Kedah namun tidak disenarai pendek,” katanya.

Berkongsi sasaran peribadi, Fahmi mahu menyertai skuad senior Kedah dalam tempoh lima tahun sebelum memasang hajat untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

“Saya mahu mendapatkan ilmu yang secukupnya di pe­ringkat belia kerana apabila sudah menyertai skuad senior saya tidak boleh buat silap dan apabila sudah berjaya menempa nama saya ingin menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Jika ada rezeki, saya ingin melebarkan sayap dengan beraksi di luar negara,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini