PADA itu pukul 4 petang 2 Februari 1999, cuaca agak cerah dan baik untuk memulakan pelayaran, matahari melimpahkan sinarnya, awan berarak mega dan tidak ada tanda-tanda hujan akan turun.

Datuk Azhar Mansor berjalan berpimpin tangan dengan isterinya, Sarah Maria dan anak-anak menuju ke kapal impiannya, Jalur Gemilang di Awana Porto Malai, di Tanjung Malai Langkawi.
Kehadiran Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tiba untuk menyerahkan bendera kebanggaan Malaysia itu kepada Azhar menjadi pembakar semangat untuk pelayar solo itu mencapai impiannya mengelilingi dunia.
“Saya berjanji akan membawa bendera ini pulang,” kata Azhar kepada Dr. Mahathir.
“Saya doakan demikian juga,” Perdana Menteri menjawab ringkas.
Azhar kemudian menaiki Jalur Gemilang yang kini membawa bersama-samanya lebih dua tan makanan angkatan tentera atau peket makanan tempatan yang setengah masak termasuk sambal ikan bilis, rendang daging, kari ayam, bubur kacang dan sirap nanas. Semua makanan itu hanya perlu dipanaskan sekejap sahaja dalam air yang mendidih.
Azhar juga membawa beras untuk dimasak dan snek berupa sejumlah buah-buahan kering seperti epal dan jambu serta bijirin seperti cornflakes.
Bekalan makanan itu mencukupi untuk seorang pelayar biasa hidup selama 140 hari di lautan tetapi bagi Azhar yang tidak kuat makan ia boleh digunakan untuk tempoh sehingga 200 hari.

Azhar mengemudi Jalur Gemilang ke lautan ditemani sekumpulan kapal dan skuter air dengan penyokong-penyokongnya terus melaung-laungkan namanya diiringi kata-kata dan lambaian selamat tinggal.
Kumpulan kapal dan skuter laut itu beransur-ansur meninggalkan Jalur Gemilang untuk kembali ke pantai dan sebuah kapal peronda polis mengiringi pelayar solo negara itu melintasi garisan permulaan.
Sedang haluan Jalur Gemilang melintasi garisan itu penjaga rasmi masa merakamkan detik waktu itu pukul 4.30 petang sebagai rekod rasmi Azhar memulakan pelayaran meredah samudera luas penuh cabaran.
Dr. Mahathir yang masih berdiri bersama-sama orang ramai di Awana Porto Malai memerhatikan Jalur Gemilang menghilang di tengah-tengah samudera dan akhirnya lepas dari pandangan.
Azhar kini bersendirian mengemudi Jalur Gemilang memulakan pelayaran solo ketika angin Monsun Timur Laut sedang bertiup dengan baik.
Menurut Azhar dalam buku Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge (2001), laluan beliau mengelilingi dunia sudah ditetapkan iaitu tempat menukar haluan adalah di Tanjung Leeuwin Australia, Tanjung Tenggara Tasmania dan Tanjung Selatan di New Zealand sebelum melintasi selatan Lautan Pasifik ke Tanjung Tanduk di penghujung benua Selatan Amerika.
Azhar kemudian mengemudi Jalur Gemilang ke arah utara menuju Kepulauan Fernando de Noronha, sebelum berpatah ke selatan sekali lagi ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan sebelum belayar menuju Langkawi, semula.
Bagi mendapat pengiktirafan Majlis Rekod Pecutan Pelayaran Sedunia, Jalur Gemilang harus bermula dan menamatkan pelayarannya dari tempat yang sama melintasi semua garis bujur dan mesti melintasi Khatulistiwa. Azhar perlu tiba di Tanjung Tanduk sebelum April 1999 iaitu permulaan bagi musim sejuk.
Pada musim sejuk, pelayar seperti Azhar harus berdepan pula dengan laut yang semakin dahsyat dengan gelombang tinggi menggunung, an gin kencang, suhu menggigit tulang dan bahaya terlanggar bongkah air batu.
“Tetapi apa yang dikhuatiri adalah terperangkap di tengah-tengah ‘angin mati’ iaitu Zon Pertembungan Inter-Tropika, satu kawasan meliputi kira-kira lima darjah lintang hampir Khatulistiwa dengan angin menghilang dan laut tidak berkocak sedikit pun.
Azhar bernasib baik, kerana angin tidak muncul selama dua hari sahaja. Situasi ‘angin mati’ itu menyebabkan beliau mudah dilanda kekecewaan dan tenggelam dalam ‘khayalan berhantu’ sebagaimana dirasai pelayar lain.
“Malah, sebenarnya dia turut dicengkam khayalan pada suatu ketika sedang masa berlalu tanpa tiupan angin langsung. Azhar terasa telinganya terdengar alunan muzik, lagu asing yang mengusik-usik seperti irama Hindustan.
“Dia mendengarnya begitu jelas sekali dan cuba bernyanyi sama tetapi angan-angannya terganggu kerana dia tidak tahu seni kata dan lenggok bahasa Hindi. Lagipun hatinya berkata takkanlah lagu itu mengalun lalu dari seberang benua kecil India” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 1991).











