KUALA LUMPUR 10 Mei – Sebanyak empat keluarga asnaf di kawasan Petaling Jaya, Selangor terpilih menerima bantuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam program Jalinan Kasih Ziarah Datuk Bandar Petaling Jaya, semalam.
MBPJ dalam kenyataan berkata, program yang julung kali diadakan dengan kerjasama Masyarakat Miskin Bandar itu bertujuan membantu golongan asnaf mengurangkan kos sara hidup.
“Walaupun Petaling Jaya telah diisytiharkan sebagai bandar raya pada 2006, masih terdapat penduduk yang bertaraf asnaf dan masih memerlukan bantuan serta sokongan.
“Berdasarkan data, bilangan penduduk miskin bandar di Petaling Jaya adalah seramai 1,500 orang. Pada 3 Mei lalu, sebanyak 60 orang penduduk miskin bandar diberikan sumbangan sebanyak RM300 oleh MBPJ,’’ katanya.
Menurut kenyataan itu, kriteria pemilihan bagi golongan penerima ialah orang kelainan upaya (OKU), miskin bandar dan ibu tunggal yang mempunyai anak berstatus OKU.
“Bantuan yang diberikan berupa barang-barang keperluan asas seperti beras, gula, tepung, bihun, air minuman, biskut dan makanan dalam tin.
“Selain itu, MBPJ turut menyampaikan pakaian raya kepada asnaf terpilih dan setiap keluarga juga diberikan baucar belian barangan untuk kegunaan harian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











