KOTA KINABALU 10 Mei – Seorang wanita bersama anaknya yang berumur 10 tahun berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa samun ketika sedang mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Inanam, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian melibatkan seorang wanita berumur 35 tahun bersama anaknya kira-kira pukul 6.15 pagi tadi.
“Mangsa yang juga guru tadika telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali dan memakai topi yang bertindak mengugut untuk mencederakan anak mangsa sebelum melarikan diri.
“Penjenayah itu melarikan diri menggunakan kereta mangsa, Hyundai Getz bernombor MAY6800, wang tunai RM50 dan dokumen pengenalan diri di dalam beg tangan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai diminta membuat laporan polis di mana-mana balai polis terdekat sekiranya ternampak kereta dilaporkan hilang itu. – BERNAMA











