IPOH – Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) hari ini memperkenalkan pemain pertahanan import dari Brazil, Pedro Victor Calil Sandoval bagi memperkuatkan lagi barisan pertahanan pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia 2019.
Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pemain berusia 25 tahun yang pernah bermain dengan kelab Esporte Clube Nordeste dari negaranya itu akan menggantikan Siyovush Astorov yang telah tamat kontrak.
“Pedro Victor akan diturunkan ketika berhadapan dengan Perak dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam esok.
“Kita harap dengan kehadiran Pedro Victor ini akan membantu PKNP FC terutamanya dalam barisan pertahanan yang dilihat agak rapuh sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan pemain berkenaan di sini sebentar tadi.
Tambah Zainol Fadzi, pihaknya memberi amaran kepada pasukan Perak bahawa PKNP FC akan menentang mereka dengan habis-habisan dalam usaha melangkah ke peringkat separuh akhir.
“Walaupun kita dikatakan sebagai ‘adik’ dan Perak sebagai ‘abang’, tiada istilah pakatan dalam bola sepak. PKNP FC akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan itu,” katanya.
Dalam saingan suku akhir pertama pada 30 April lalu, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung.
Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fazim berkata, para pemainnya akan lebih berhati-hati dalam aksi kedua di gelanggang lawan berikutan Perak diperkuatkan dengan dua import baharu di bahagian jentera serangan.
“Perak sudah tentu akan mencari gol awal bagi mendapatkan kelebihan kerana mereka bermain di gelanggang sendiri.
“Keputusan seri dengan jaringan pasti akan membawa padah kepada mereka dan memberi kelebihan kepada PKNP FC. Kita akan mengekang setiap asakan mereka di samping menggunakan peluang pada masa yang tepat untuk menyerang semula mereka,” katanya. – K! ONLINE











