IPOH – Paluan kompang dan bunga manggar menyambut kedatangan kira-kira 60 orang penghuni pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam yang diraikan pada majlis berbuka puasa di Hotel Impiana di sini semalam.
Keceriaan jelas terpancar pada wajah anak-anak yang berusia antara empat hingga 17 tahun ini yang jarang-jarang dapat merasai suasana berbuka puasa di hotel.
Majlis amal ini merupakan anjuran bersama Persatuan Pegawai Kanan (Paduan) Majlis Bandaraya Ipoh, Yayasan Abu Bakar, Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP), Hotel Impiana dan Pasaraya Econsave.
Timbalan Setiausaha Kehormat Paduan, Mohd. Syahrizal Azmi berkata, majlis tersebut bertujuan untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang bernasib baik pada bulan Ramadan.
“Selain berbuka puasa pihaknya telah membawa anak-anak yatim ini membeli baju raya di cawangan Pasaraya Econsave Bercham.
“Seronok melihat anak-anak ini gembira memilih baju raya kesukaan masing-masing,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Turut meraikan anak-anak yatim ini ialah Pengurus Besar Hotel Impiana Ipoh, Gerard Sta Maria dan Pengurus Econsave cawangan Bercham, Shah Effendy Rosman.
Selain meraikan anak yatim, majlis berbuka puasa itu turut dihadiri 20 orang ibu tunggal.
Sementara itu, Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak penaja dan berharap program berkenaan dapat diteruskan pada tahun hadapan. – K! ONLINE











