Perintah berkurung di kawasan perairan ESSZone dilanjutkan sehingga 26 Mei - Utusan Malaysia

Perintah berkurung di kawasan perairan ESSZone dilanjutkan sehingga 26 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 10 Mei – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 26 Mei ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dalam kenyataan hari ini berkata, perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Menurut beliau, orang ramai tinggal di kawasan itu dikehendaki berada di dalam rumah serta tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara pukul 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan di sekitar kawasan tersebut.

“Arahan tersebut juga bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata, perintah berkurung akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Jelasnya, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau sebarang keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” tegasnya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini