Mampukah MergedCo tawar khidmat termurah? - Utusan Malaysia

Mampukah MergedCo tawar khidmat termurah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini heboh me­ngenai cadangan penggabungan Axiata Group Bhd. (Axiata) dengan syarikat telekomunikasi Norway, Telenor ASA (Telenor).

Walaupun ia masih dalam peringkat awal perbincangan, banyak pihak yang mengutarakan pendapat tentang sama ada penggabungan ini wajar atau tidak. Tidak kurang juga yang mempersoalkan mengapa Axi­ata hanya memiliki 43.5 peratus kepentingan dalam MergedCo yang akan diwujudkan selepas rundingan itu tamat?

Mengapa bukan Axiata yang memiliki kepentingan majoriti sedangkan MergedCo itu katanya akan beroperasi di Malaysia?

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan itu sahaja, syarikat pe­ngendali telekomunikasi mudah alih milik Axiata, Celcom Axiata Bhd. (Celcom) juga akan digabungkan dengan syarikat milik Telenor, Digi.Com Bhd. (Digi) yang kini tersenarai di Bursa Malaysia.

Ada yang menyifatkan tindakan Axiata mengumumkan penggabungan ini seolah-olah menjual syarikat telekomunikasi berkenaan sekali gus menjadikan Celcom bukan lagi syarikat telekomunikasi Malaysia dan menjadi syarikat negara Norway.

Malah, cadangan penggabu­ngan itu juga dikhuatiri akan menyebabkan ramai kakita­ngan Celcom dan Axiata kehila­ngan pekerjaan.

Bagaimanapun dalam satu sesi taklimat khas yang diadakan oleh pengurusan Axiata dan Telenor sejurus pengumuman kepada Bursa Malaysia dibuat pada Isnin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim menegaskan tidak ada sebarang pemberhentian pekerja akan dilakukan sekiranya cada­ngan transaksi itu dilaksanakan.

Malah katanya, jika terdapat sebarang pertindihan tugas, kakitangan yang terlibat akan ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) atau skim pemisahan bersama (MSS) yang disifatkannya purely voluntary.

Sebenarnya, penggabungan Axiata juga adalah antara langkah yang dirasakan perlu ketika industri telekomunikasi hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran.

Mungkin dengan penggabu­ngan dua gergasi telekomunikasi ini, liputan jalur lebar dan mudah alih di Malaysia dapat dipertingkatkan malah ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan.

Namun dalam majlis yang sama, Jamaludin menegaskan belum ada sebarang perbincang­an berkaitan harga yang akan ditawarkan kerana semuanya masih di peringkat awal.

Bagi rakyat marhaen, soal syarikat telekomunikasi negara dijual kepada negara luar bukan satu isu besar. Telah ba­nyak pegangan milik Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mi­salnya telah dijual kepada pihak asing. Lupakah kita pada syarikat Jepun, Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) yang kini muncul sebagai pemegang saham terbesar apabila membeli 16 peratus pegangan dalam IHH Healthcare Bhd. (IHH) bernilai RM8.42 bi­lion?

Jadi, soal penggabungan Axiata dan Telenor ini bukanlah satu isu besar yang memeningkan rakyat. Rakyat tidak mahu tahu tentang semua itu. Apa yang rakyat inginkan adalah liputan internet, jalur lebar dan mudah alih yang memuaskan pada kadar harga yang murah.

Mampukah MergedCo tawarkan apa yang rakyat mahu?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini