KUALA LUMPUR 9 Mei – Pegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia merosot kepada RM162.3 bilion atau 21.9 peratus daripada jumlah terkumpul pada April yang juga merupakan paras terendah sejak Januari 2011.
UOB Global Economics & Markets Research (UOB) berkata, kemerosotan pegangan itu susulan daripada aliran keluar bersih asing tertinggi dalam sekuriti hutang Malaysia sejak Mei 2018 pada RM9.8 bilion pada April.
“Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) terjejas dengan jualan besar-besaran pelabur asing yang masing-masing berjumlah RM3.5 bilion pada April.
“Ia menyaksikan pegangan asing dalam MGS dan GII susut dengan ketara kepada RM162.3 bilion.
“Selain itu, pelabur asing turut melupuskan bon Perbendaharaan berjumlah RM1.2 bilion bulan lalu dan menjual hutang swasta RM56.6 juta,” katanya dalam nota penyelidikan makro ekonomi di sini hari ini.
Tambah UOB, Malaysia turut merekodkan aliran keluar dana asing tertinggi dalam tempoh 10 bulan pada April kepada RM11.2 bilion.
Katanya, ia timbul di tengah-tengah kebimbangan mengenai laporan bahawa dana Norway akan mengurangkan pegangan bon dari 10 pasaran baharu termasuk Malaysia dan pengumuman mengejutkan FTSE Russell bahawa ia mungkin melupuskan Malaysia daripada indeks bon kerajaan dunia.
“Dana asing juga kekal menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia bagi tempoh tiga bulan berturut-turut dengan jumlah sebanyak RM1.4 bilion pada April, sekali gus menyaksikan aliran keluar ekuiti setakat ini kepada RM2.8 bilion,” katanya.
Menurut UOB lagi, meskipun berlakunya aliran keluar portfolio asing, rizab asing Bank Negara Malaysia (BNM) terus meningkat sebanyak AS$400 juta (RM1.6 bilion) bulan ke bulan kepada AS$103.4 bilion (RM429.5 bilion) setakat akhir April.
Dalam pada itu firma penganalisis itu menjangkakan Filipina dan Indonesia akan mengikut langkah Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman (OPR).











