KLANG – Angkara dendam, seorang lelaki bertindak membakar sebuah lori pasir sebuah syarikat pembinaan di Jalan Perajurit, Kampung Telok Gong di sini semalam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berpunca apabila tiga pemandu lori berusia 20 hingga 30an dipukul dengan kayu dan rotan oleh lapan individu termasuk majikannya.
Katanya, mereka dipukul susulan didakwa mencuri minyak diesel tangki lori syarikat tersebut.
Kosmo! Online difahamkan aktiviti mencuri itu dilakukan oleh tiga pekerja tersebut sejak sebulan lalu.
“Kita mengesahkan menerima laporan polis di Balai Polis Pandamaran berhubung pekerja itu dipukul pukul 5.18 petang semalam.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian pukul itu berlaku di dalam bilik stor syarikat pembinaan berkenaan kelmarin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, susulan kejadian itu didapati seorang lelaki telah memasuki syarikat tersebut petang semalam dan bertindak membakar sebuah lori.
Jelas Shamsul Amar, seramai lapan individu berusia 23 hingga 36 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 148 dan 435 Kanun Keseksaan.
“Kita masih mengesan beberapa individu lain yang terlibat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai beserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.36 petang semalam.
“Setiba di lokasi kejadian pukul 4. 04 petang didapati sebuah lori pasir terbakar sebanyak 80 peratus.
“Turut ditemui adalah sebuah tong dipercayai berisi petrol dan dipercayai kes disebabkan khianat,” katanya.
Terdahulu, tular empat video berkaitan kes pemandu lori itu dipukul dan kebakaran sebuah lori di laman sosial telegram dan WhatsApp. – K! ONLINE











