BERASA sakit, cemas, panik dan tertekan merupakan perkara normal dirasai oleh manusia tetapi ia berbeza bagi seorang wanita dari Scotland iaitu Jo Cameron, 71, yang kebal daripada rasa tersebut.
Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah mengambil ubat tahan sakit ketika mendapatkan rawatan gigi, melahirkan anak dan pembedahan.
Cameron juga tidak menyedari bahawa dia telah membakar lengannya di atas dapur sehingga berbau daging terbakar.
Bekas guru itu menyangkakan ia adalah normal sehinggalah mendapatkan rawatan pinggang ketika berusia 65 tahun.
Doktor melakukan imbasan sinar-X dan mendapati dia mengalami masalah sendi yang teruk sehingga berjalan dalam keadaan senget.
Namun, doktor terkejut apabila mendapati Cameron tidak berasa sakit walaupun keadaan pinggul itu sangat serius.
Ketika mendapatkan rawatan di hospital, doktor juga mendapati ibu jarinya rosak akibat osteoartritis dan perlu dibuang menerusi pembedahan.
Para doktor turut terkejut kerana dia tidak merasai sakit langsung sepanjang menjalani pembedahan tersebut.
“Saya tidak berasa sakit tetapi mereka tidak mempercayainya,” katanya.
Cameron mempunyai mutasi dalam gen yang dipercayai memainkan peranan penting dalam memberi isyarat kesakitan, mood dan ingatan.
Penemuan tersebut telah meningkatkan harapan rawatan baharu untuk kesakitan kronik yang menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia.
Mengimbau kenangan lalu, ketika berusia lapan tahun, lengan Cameron telah patah dan dia tidak memberitahu sesiapa sehinggalah tulangnya mula bercantum semula dan kembali sembuh.
Wanita itu juga selalu seterika dirinya tanpa sedar sehingga banyak luka tetapi ia sembuh dengan pantas.
“Saya juga sering terlupa banyak perkara dan tidak mendapat sistem penggera kesakitan seperti orang lain,” ceritanya.
Ekoran kejadian luar biasa itu, doktor-doktor telah menjalankan kajian ke atas Cameron untuk menganalisis sama ada kepekaan kepada kesakitan itu disebabkan oleh genetik dan bermutasi dalam gen yang tidak dikenali sebelum ini.
Kajian itu diharap dapat mencari penyelesaian untuk rawatan terbaharu bagi kesakitan ketika menjalani pembedahan.
Optimis
“Implikasi daripada penemuan ini sangat besar.
“Kebiasaannya pesakit masih berasa sakit yang sederhana dan teruk walaupun diberi ubat tahan sakit,” jelas salah seorang penyelidik di sebuah hospital awam di utara Scotland, Dr. Devjit Srivastava.
Beliau yang turut menjalankan kajian ke atas Camaron berkata, hasil penemuan tersebut berpotensi untuk mengurangkan rasa sakit dan mempercepatkan penyembuhan luka.
“Kami berharap ia dapat membantu 330 orang juta pesakit yang menjalani pembedahan di seluruh dunia pada setiap tahun,” ujar Devjit lagi.
Para penyelidik juga mendapati Cameron seorang yang optimis dengan skor terendah bagi skala kebimbangan, kerisauan dan panik ketika menjalani ujian tekanan.
Dia dilaporkan tidak pernah berasa panik walaupun berada di dalam keadaan berbahaya.
Akui Cameron, dia seorang yang ceria dan tidak menyangka bahawa perasaannya yang tidak pernah panik atau tertekan merupakan perkara pelik.
Dua tahun lalu, dia mengalami kemalangan dan memanjat keluar dari bumbung keretanya lantas menenangkan seorang pemandu yang menggigil selepas turut sama terlibat dalam kejadian tersebut.
Sangat berharga
Para penyelidik mengatakan, mungkin ada lebih ramai orang dengan mutasi yang sama memandangkan Cameron tidak menyedari keadaannya hingga usia 60 tahun.
“Orang yang tidak sensitif terhadap kesakitan boleh menjadi sangat berharga dalam penyelidikan perubatan jika kita mengetahui bagaimana mutasi genetik mereka mempengaruhi rasa sakit itu.
“Sehubungan itu, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang tidak mengalami rasa sakit untuk turut sama dalam kajian ini,” tutur Pensyarah Kanan, Universiti Kolej London, United Kingdom, James Cox.
Penyelidik mendapati Cameron mempunyai dua mutasi yang ketara dalam genetiknya dan ia mengurangkan aktiviti gen yang dipanggil asid lemak amida hidrolase (FAAH).
Analisis asid deoksiribonukleik (DNA) juga mendapati Cameron mempunyai dua mutasi genetik yang ketara iaitu pertama telah melumpuhkan gen FAAH sehingga memecahkan kimia yang dipanggil anandamide dalam badan.
Kesan anandamide adalah sama dengan ganja dan jika ia dipecahkan maka, akan bertindak sebagai penahan rasa sakit atau panik.
Cameron juga didapati telah kehilangan maklumat DNA dalam pseudogen dan penyelidik memanggilnya sebagai Faah-Out.
Walaupun penyelidikan terdahulu telah menjalankan kajian mengenai penurunan pengeluaran Faah tetapi kini gen Faah-Out menawarkan peluang baharu untuk diterokai.
Peluang
Mutasi tersebut bukan hanya mengurangkan rasa sakit dan panik tetapi ia juga meningkatkan rasa bahagia, menyembuhkan luka dengan cepat dan menjadikan seseorang itu pelupa.
“Sekarang kita dapat melihat bagaimana gen yang baru dikenali ini berfungsi dan memberi peluang rawatan masa hadapan
“Eksperimen ke atas Cameron membolehkan penghasilan ubat tahan sakit yang lebih semula jadi pada masa akan datang,” jelas Cox lagi.
Para pengkaji mendapati ibu dan anak perempuan Cameron merasai kesakitan sama seperti orang normal yang lain.
Bagaimanapun, mendiang ayahnya tidak memerlukan ubat tahan sakit dan begitu juga anak lelaki Cameron.
Para saintis berpendapat bahawa Cameron mewarisi mutasi itu daripada bapanya.
“Saya berasa gembira jika penyelidikan genetik ke atas saya dapat membantu ramai orang,” ujar Cameron.
Menurut Cox, dalam kes-kes mutasi yang teruk boleh menyebabkan orang tersebut tidak merasai sakit langsung.
“Pada usia kanak-kanak, mereka biasanya akan menggigit lidah dan jari kerana tidak mengetahui bahawa ia berbahaya.
“Rasa sakit sebenarnya sangat berguna dalam hidup yang berfungsi sebagai sistem penggera keselamatan,” ulasnya.
Seorang bekas guru berusia 71 tahun dari Scotland tidak mempunyai rasa sakit dan panik malah tidak bergantung dengan ubat tahan sakit sepanjang hidupnya.











