Adakah anda bijak berbelanja? - Utusan Malaysia

Adakah anda bijak berbelanja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
RAMAI
yang menyangka membeli barangan semasa promosi jualan murah adalah berbaloi dan menguntungkan.

Persoalannya, adakah barang dibeli kerana harga murah itu satu keperluan atau kehendak semata-mata? Membeli barangan bukan keperluan membawa kepada pembaziran apabila tidak digunakan.

Adakah jualan murah tersebut memang menawarkan harga yang benar-benar murah atau sekadar teknik pemasaran? Seseorang yang bijak dalam berbelanja akan bertanya pelbagai persoalan sebelum membeli supaya berbaloi dengan wang dikeluarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bijakkah anda dalam berbelanja? Seseorang yang bijak dalam berbelanja sebenarnya adalah seorang yang mampu mengurus kewangan secara bijaksana dan dapat membezakan antara keperluan dan kehendak. Tip berbelanja secara bijak sangat mudah dan boleh dipraktik semua individu.

Kenal pasti pembelian yang hendak dibuat terlebih dahulu. Adakah barangan tersebut sangat diperlukan dan adakah ia akan digunakan secara optimum? Buatlah kajian tentang barangan yang hendak dibeli. Lihat secara teliti akan spesifikasi, saiz, jangka hayat, perbandingan harga dan lain-lain perkara yang berkaitan lebih-lebih lagi bagi pembelian secara dalam talian.

Ramai pengguna yang merasa tertipu apabila membeli barangan secara dalam talian. Apa tidaknya, apabila barang sampai, saiz barangan yang dibeli lebih kecil daripada disangka. Sebenarnya kebanyakan insiden berlaku disebabkan sikap tergesa-gesa penguna dalam membuat pembelian.

Pembeli tidak mengambil masa untuk mencari maklumat barangan yang dijual. Apabila sudah berkenan, terus sahaja tekan butang klik untuk membeli. Penjual yang beretika biasanya tidak menipu sebaliknya akan memberi maklumat sebenar.

Periksa juga kualiti barangan yang dijual. Sebenarnya banyak barangan mahal lebih berkualiti serta mempunyai jangka hayat lebih panjang. Ini adalah lebih baik dan bijak berbanding membeli pada harga lebih murah, namun kualiti pada tahap kurang memuaskan serta punyai jangka hayat lebih pendek.

Sebagai pengguna, pastikan barangan yang hendak dibeli mempunyai kualiti sepadan dengan harga dibayar. Membeli barangan dengan harga yang murah semata-mata tidak semestinya pembelian bijak.

Kaedah pembelian juga perlu diambil kira apabila berbelanja. Pembelian secara tunai adalah lebih menguntungkan berbanding membeli secara hutang atau ansuran. Pembelian secara hutang atau ansuran sebenarnya adalah lebih mahal dan tinggi daripada harga dibeli secara tunai.

Seandainya anda ingin membeli barangan idaman hati, kumpullah dulu wang sehingga mencukupi bagi mengelakkan diri berhutang.

Jadilah seorang pengguna yang bijak dalam berbelanja. Fikirlah secara mendalam sebelum mengambil keputusan untuk membeli sesuatu barangan. Ini akan membantu anda menimbangtara pembelian tersebut sama ada berbaloi dan menguntungkan.

YUSNIRAH YUSOP

Politeknik Ibrahim Sultan
Pasir Gudang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini