JAWA TIMUR 9 Mei – Usaha selama empat tahun menjalankan eksperimen menanam 14 jenis kurma yang dilakukan pengajar Pondok Pesantren Pari Ulu, Mustain Anshori di Kediri dekat sini mula menampakkan hasil.
Lapor Detik News, Mustain berkata, usaha tersebut bermula apabila dia tertarik menggantikan pokok kelapa yang dulu banyak ditemukan di daerah itu di samping berminat dengan atap diperbuat daripada daun tal.
Daun tal diperoleh daripada sejenis pokok kurma pada zaman Kalingga di Jawa Tengah.
“Saya yakin pokok kurma boleh ditanam dan mencuba pelbagai proses daripada penyemaian hingga percambahan biji benih yang didapati daripada penjual buah kurma.
“Pokok kurma yang ditanam di sini boleh berbuah walaupun hanya berusia empat tahun sedangkan di Arab perlu mengambil masa lapan tahun jika menggunakan teknik tradisional,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, sudah tiga kali pohon kurma ditanam berbuah bagi jenis Ajwa, Ruzeis dan Madinah.
“Pokok kurma itu ditanam di tanah selain polibeg dan pasu.
“Cara penjagaan pokok kurma ini sama sahaja cuma memerlukan lebih kesabaran,” jelasnya.
Bagaimanapun Mustain memberitahu, kurmanya masih belum dijual kerana dalam proses pemantauan bagi melihat sama ada terbukti boleh dikembangkan kepada petani lain.











