KUALA LUMPUR 9 Mei – MQ Technology Berhad (MQTech) melihat Mongolia sebagai antara pasaran yang menawarkan peluang besar bagi industri perniagaan dalam talian.
Pengarah Eksekutif MQTech, Joeone Tong Sian Shyen berkata, syarikat akan memperluaskan perniagaan ke Mongolia menerusi Monvest Group Pte. Ltd. yang mengendalikan perniagaan dalam talian di negara berkenaan.
Katanya, MQTech pada 6 Mei lalu memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) dengan Dynamic Gallery Limited untuk pengambilalihan 19 peratus kepentingan ekuiti di dalam Monvest Group dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM8.55 juta.
“Ia dilihat sebagai satu peluang besar kerana kedua-dua syarikat khusus menjalankan perniagaan dalam talian di Asia Tenggara.
“Sebanyak 44.5 peratus daripada keseluruhan penduduk adalah berusia antara 25 hingga 54 tahun dengan nisbah jantina agak seimbang iaitu 51 peratus wanita dan 49 peratus lelaki, ini adalah sasaran audiens kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











