LONDON 9 Mei – Bintang penyerang Tottenham, Harry Kane berharap dia sempat pulih sepenuhnya untuk berdepan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara di Madrid, 2 Jun ini (3 pagi waktu Malaysia).
Kapten England itu yang terlepas beberapa perlawanan akibat kecederaan buku lali sejak awal bulan lalu mengakui, kebangkitan sensasi Reds ketika membenam Barcelona 4-0 dalam satu lagi separuh akhir semalam menjadi inspirasi buat Spurs.
Selepas kalah 0-1 di tempat sendiri minggu lalu, dan ketinggalan 0-2 menerusi jaringan Matthijs de Ligt serta Hakim Ziyech di Amsterdam, hatrik Lucas Moura memastikan Tottenham mara ke final buat kali pertama.
Kedua-dua pasukan terikat secara agregat 3-3 tetapi Spurs mara menerusi peraturan gol tempat di lawan.
“Harap dapat kembali. Proses pemulihan berjalan baik, malah saya sudah mula berlari minggu ini.
“Setakat ini semuanya tampak positif, dan kalau ia kekal begitu sehingga hari perlawanan, harapan (untuk bermain) agak bagus.
“Apa pun, Lucas meledak hatrik hari ini dan kami mengalahkan Manchester City (suku akhir) serta Ajax, jadi saya betul-betul perlu bekerja keras jika mahu mendapat tempat dalam pasukan,” kata Kane kepada BT Sport.
Menurut Kane, dia memasuki bilik persalinan untuk memberi semangat kepada rakan-rakan sepasukan ketika permainan berhenti rehat.
“Semua tidak berjalan baik pada separuh masa pertama dan kami ketinggalan.
“Saya kata, masih ada 45 minit lagi untuk mereka berikan segala-galanya. Kita hanya ada satu lagi perlawanan selepas ini, jadi jangan fikir soal penat.
“Kami telah melihat bagaimana Liverpool bangkit mengatasi segala kesukaran untuk mengalahkan Barcelona, jadi kami juga boleh buat seperti mereka,” ujarnya lagi. – AGENSI











