LONDON 8 Mei – Chelsea akan mencabar FIFA yang mengenakan hukuman sekatan ke atas kelab itu untuk berada dalam pasaran perpindahan ke Mahkamah Timbang Tara (CAS), kata kelab London itu, hari ini, selepas badan induk bola sepak dunia tersebut menolak rayuan pertama Blues.
Sekatan ke atas Chelsea untuk menandatangani pada dua jendela perpindahan dikekalkan FIFA yang mengumumkan keputusan hukuman itu, hari ini.
Februari lalu, Blues disekat daripada menandatangani pemain baharu untuk dua jendela perpindahan akan datang, selepas didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA kerana melanggar peraturan berkaitan merekrut pemain di bawah umur.
Chelsea, bagaimanapun, menafikan kelab itu terbabit dalam sebarang salah laku dan telahpun mengemukakan rayuan.
Hari ini, badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan bahawa jawatankuasa rayuan memutuskan untuk mengekalkan sebahagian daripada rayuan berkenaan.
Jawatankuasa itu telah menarik sebahagian sekatan yang dikenakan, tetapi ia hanya untuk pemain di bawah 16 tahun yang tidak melibatkan perpindahan antarabangsa dan pendaftaran pertama bagi pemain asing di bawah umur.
Ini bermakna Chelsea, masih tidak boleh menandatangani pemain lelaki berusia 16 tahun ke atas apabila jendela perpindahan musim panas ini di buka.
Chelsea menjawab keputusan FIFA itu dengan berkata, mereka akan membawa kes sekatan tersebut kepada CAS. – AFP











