9 atlet boling padang harap dapat pelepasan - Utusan Malaysia

9 atlet boling padang harap dapat pelepasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mei – Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM) berharap isu pelepasan sembilan atlet dapat diselesaikan dengan segera bagi melancarkan program persediaan atlet ke Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Setiausaha Agung PLBM, Syed Zainal Abidin Syed Zain berkata, persiapan skuad boling padang negara agak terjejas berikutan beberapa pemain tidak mendapat pelepasan daripada organisasi masing-masing untuk menjalani latihan sepenuh masa di Bukit Kiara.

“Pemain memerlukan latihan sepenuh masa dan secara konsisten. Namun terdapat beberapa pemain diberikan pelepasan pada masa-masa tertentu sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam boling padang, perlu konsistensi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja sukan boling padang, di sini hari ini.

Difahamkan, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) sedang berusaha mendapatkan pelepasan untuk atlet berkenaan melibatkan dua petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tujuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Skuad boling padang kini sedang menjalani latihan pusat di Bukit Kiara sehingga 28 Mei ini.

Dalam pada itu, Syed Zainal Abidin berkata, skuad negara akan berlepas ke Australia pada 29 Mei ini untuk menyertai Kejohanan Terbuka Australia di Gold Coast dijadual pada 1 hingga 14 Jun, dan kemudian Kejohanan Asia Pasifik yang juga kelayakan ke Kejohanan Dunia 2020.

Badan induk itu akan menghantar 20 atlet ke Gold Coast untuk bersaing dalam kategori perseorangan, berpasangan, bertiga dan berempat sepasukan meskipun acara perseorangan tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina.

“Terbuka Australia ini adalah pendedahan pertama kepada atlet untuk penyertaan ke kejohanan luar negara yang juga platform untuk mereka menguji kebolehan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin berkata, skuad negara akan menyertai enam acara yang dipertandingkan membabitkan kategori berpasangan, trio dan berempat.

Kem boling padang sudah pun kehilangan dua pingat emas susulan acara perseorangan lelaki dan wanita tidak dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

“Skuad negara akan berangkat ke Filipina dari 12 hingga 19 Julai untuk menjalani latihan bersama skuad Filipina di venue yang kemungkinan akan digunakan pada temasya itu,” katanya.

Mengenai sasaran dan senarai pemain, Syed Zainal Abidin berkata perkara itu akan diumumkan sendiri Presiden PLBM, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini