SEMPENA 50 tahun Sesame Street menghiburkan kanak-kanak di seluruh dunia, satu sambutan istimewa dan eksklusif telah diadakan di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara khusus buat si cilik serta peminat rancangan Sesame Street di negara ini.
Empat karektor dalam rancangan Sesame Street memeriahkan sambutan yang berlangsung semasa musim cuti sekolah baru-baru ini selain turut diwarnai dengan pelbagai aktiviti dan persembahan menyeronokkan di samping berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik.
Kawasan ruang legar Centre Court The Curve diubah menjadi sebuah taman permainan kanak-kanak. Mereka dilihat riang bermain dalam taman permainan Sesame Street yang dilengkapi gelongsor getah yang besar selain berpeluang beramah-mesra dengan empat karakter Sesame Street iaitu Elmo, Cookie Monster, Bert dan Ernie.
Kanak-kanak juga dapat menyertai aktiviti pengembaraan yang menawarkan hadiah Sesame Street yang cukup istimewa. Mereka cuma perlu mengambil bahagian dalam satu misi yang turut memberi mereka pengetahuan dan keseronokan.
Menariknya, terdapat banyak stesen aktiviti yang disediakan untuk kanak-kanak. Mereka hanya perlu memilih berdasarkan minat seperti aktiviti mewarna, teka-teki carian perkataan dan misi memburu harta karun.
Pengunjung muda mahupun yang berjiwa muda turut berpeluang menyaksikan persembahan tarian istimewa yang menampilkan Elmo, Cookie Monster, Bert dan Ernie.
Menurut Pengurus Besar Kanan The Curve, Jazmi Kamarudin, Sesame Street dipilih kerana ia rancangan kanak-kanak yang disukai pelbagai lapisan usia.
“Sebagai sebuah pusat beli-belah yang menitikberatkan hubungan kekeluargaan, kami berusaha mengadakan kempen yang dapat mengeratkan lagi hubungan ibu bapa dengan anak-anak.
“Kami percaya Sesame Street adalah satu pengalaman yang tidak lapuk dek zaman dan digemari semua lapisan usia dan tanpa disangka sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.
Tidak dinafikan kehadiran empat karakter Sesame Street itu telah menggamatkan suasana ruang legar The Curve. Kanak-kanak dilihat melompat-lompat gembira apabila dikejutkan dengan kemunculan Elmo, Cookie Monster, Bert dan Ernie di taman permainan Sesame Street.
Mereka turut mengambil peluang memeluk dan bergambar bersama karakter kegemaran masing-masing. Ternyata, Sesame Street masih relevan dengan kanak-kanak pada zaman ini.











