KUALA LUMPUR 8 Mei – Tiga pengarah syarikat pelaburan termasuk seorang wanita bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan berasingan terlibat dengan skim piramid serta menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.
Tertuduh, Datuk Seri Lai Chai Shuang, 49; Chai Ling Mooi, 48 dan Wong Tat Foong, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan selesai dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd. Noor.
Berdasarkan pertuduhan, Chai Shuang yang merupakan Pengarah Monspacemall Sdn. Bhd. didakwa telah menyebabkan Skim Piramid dipromosikan iaitu Skim Monspace. Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27B(2)(b) akta sama.
Untuk pertuduhan kedua, tertuduh sebagai jawatan sama didakwa telah menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memegang suatu lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung di bawah Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.
Sementara dua lagi pengarah syarikat tersebut iaitu Tat Foong dan Ling Mooi pula didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah serta mempromosi skim piramid yang didakwa mengikut Seksyen yang sama.
Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dua buah premis di Jalan Jalil 1, Bumi Bukit Jalil, Lebuhraya Sungai Besi-Puchong di sini antara 14 Jun hingga 19 Julai 2017. – UTUSAN ONLINE











