KUALA TERENGGANU 8 Mei – Jemaah Masjid Haji Muhammad di Kampung Mengabang Tengah di sini gempar apabila tapak meletakkan kubah di masjid itu runtuh malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Runtuhan pada struktur yang dalam pembinaan itu dikatakan berlaku ketika hujan lebat hingga menjejaskan hampir keseluruhan bahagian tengah masjid tersebut.
Difahamkan, masjid yang berusia lebih 100 tahun dan boleh menampung sehingga 1,000 jemaah itu kini dalam proses dinaik taraf namun, masih digunakan seperti biasa termasuk untuk solat sunat Tarawih.
Seorang jemaah, Aziz Salleh, 60, berkata, ketika kejadian dia bersama dua jemaah lain sedang bertadarus al-Quran di samping seorang lagi mengemas sejadah.
“Masa itu hujan lebat dan ketika membaca al-Quran tiba-tiba kilat. Saya ingat kilat yang berbunyi tetapi rupa-rupanya bahagian atas runtuh dan kami meluru berlindung di bawah bim lama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang ahli jawatankuasa masjid, Abu Bakar @ Alias Jusoh, 65, pula berkata, dia yang ketika itu sedang menyimpan sejadah terkejut sebaik terdengar bunyi kuat seolah-olah ada sesuatu yang akan jatuh.
“Saya segera berlari ke depan dan pada masa itu saya nampak bahagian pembinaan atas telah runtuh,” katanya.
Sementara itu, Zarul Usairi Muhammad, 45, berkata, beberapa hari sebelum kejadian terdapat beberapa tanda luar biasa pada masjid termasuk air yang melimpah ketika hujan di samping gegaran ketika kipas dipasang.
Malam tadi, sebelum kejadian tersebut dikatakan hampir 200 jemaah menunaikan solat sunat Tarawih di masjid itu. – UTUSAN ONLINE










