Tukang cuci hilang RM40,000 diperdaya Macau Scam - Utusan Malaysia

Tukang cuci hilang RM40,000 diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mei.- Seorang tukang cuci di Sibu, Sarawak kehilangan wang simpanan hampir RM40,000 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ semalam.

Memetik laporan portal Utusan Borneo, mangsa, berusia 43 tahun itu dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Ong’ dari Balai Polis Ipoh kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit memberitahu portal berkenaan, mangsa telah dimaklumkan bahawa dia mempunyai sebuah kedai kopi di Ipoh dan mempunyai hutang GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang belum dijelaskan,

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, selain itu, mangsa juga dimaklumkan oleh suspek bahawa dokumen peribadinya kemungkinan telah digunakan oleh individu lain untuk membuka kedai tersebut.

“Berikutan itu, suspek kemudiannya memaklumkan jika mangsa gagal menjelaskan hutang GST itu, pengadu akan dimasukkan ke dalam lokap selama 45 hari.

“Akibat takut dan mempercayai kata-kata suspek, mangsa terus memindahkan wang berjumlah RM24,440 menerusi enam transaksi ke sebuah akaun bank pada pukul 1.31 tengah hari pada yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, tidak cukup dengan itu, mangsa kemudiannya diarahkan sekali lagi untuk memindahkan wang berjumlah RM15,000 ke akaun bank lain melalui tiga transaksi kononnya untuk menjelaskan hutang GST tersebut.

“Mangsa juga dimaklumkan bahawa semua wang tersebut akan dipulangkan semula dalam tempoh dua jam oleh suspek jika pihak kerajaan mendapati pengadu tidak bersalah.

“Bagaimanapun, selepas lebih dua jam, suspek yang menyamar sebagai Sarjan Ong itu gagal dihubungi menyebabkan mangsa mula sedar dia telah tertipu,” ujarnya.

Tambah Stanley, susulan daripada itu, mangsa terpaksa menanggung kerugian RM39,440 akibat ditipu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesdisiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini