MENCIPTA populariti menerusi ketampanan wajah dan bakat lakonannya mengagumkan, Hyun Bin dilihat sebagai figura yang tepat sebagai bintang baru ikon jam tangan Swiss, Omega.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Omega, Raynald Aeschlimann mengakui pesona dimiliki aktor kelahiran Korea Selatan itu serasi dengan aura jenama penjaga waktu itu.
“Hyun Bin menyerlah pada setiap naskah drama lakonannya. Beliau sering memberikan yang terbaik, menjaga kualiti dan sering tampil berkeyakinan.
“Kami amat mengagumi personaliti dan nilai di bawa, sebagai seorang aktor dan melihat segala kriteria itu bertepatan dengan kualiti yang kami cari untuk menjadi bintang jenama,” katanya.
Pemilihannya sebagai duta baru itu, menyaksikan Hyun Bin kini berdiri sebaris dengan wajah Omega sebelum ini, antaranya George Clooney, Nicole Kidman dan Cindy Crawford.
Hyun Bin dalam reaksinya memberitahu, amat teruja dan berbesar hati atas kepercayaan diberikan jenama tersohor itu.
“Bagi saya Omega sentiasa menyerlah sebagai nama dikagumi sepanjang masa yang memiliki sejarah yang panjang.
“Saya berharap akan mampu menggerakkan falsafah jenama, pada masa sama mencipta lebih banyak kejayaan bersama,” katanya.










