Chong Wei kongsi kenangan di bulan Ramadan - Utusan Malaysia

Chong Wei kongsi kenangan di bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mei – Indahnya Malaysia ungkapan yang cukup sesuai dengan negara yang didiami dengan masyarakat pelbagai kaum terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Sempena bulan Ramadan, kedatangannya bukan sahaja disambut dengan penuh gembira oleh masyarakat beragama Islam namun turut membuat bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengimbau kenangannya ketika berada di bulan berkenaan.

Berkongsi beberapa kenangan sempena bulan Ramadan, Chong Wei mengakui pelbagai perkara yang dilaluinya sepanjang bulan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari dulu, sejak saya masih berjinak-jinak dengan dunia sukan, selalu juga ikut pasukan daerah dan negeri bertanding luar negeri.

“Selalunya tempat tidur di asrama. Rakan sepasukan Melayu Cina India, semua ada. Yang paling best (terbaik), semasa latihan dan kejohanan di bulan puasa.

“Siren untuk sahur, kita turut bersahur. Sahur beramai-ramai dengan rakan sepasukan dan pemain-pemain lain, itu salah satu kenangan terindah saya ketika itu,” tulisnya dalam Instagram peribadinya @leechongweiofficial yang menerima 25 ribu tanda kesukaan.

Tambahnya, ketika latihan dia tetap menghormati pemain-pemain yang berpuasa.

“Waktu latihan dan rakan puasa, kita hormat dan nak minum air, kita minum air di hujung gelanggang.

“Ada juga cerita kelakar, kadang-kadang ada juga suruh saya jadi tukang tapao (bungkus makanan). Ini merupakan perkara-perkara kecil menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.

“Hari ini hari Pertama bulan Ramadan. Saya ingin mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari minta maaf kepada semua dan mengucapkan Selamat Berbulan Puasa kepada semua kawan beragama Islam.

“Kepada yang tak berpuasa, tolong hormat kawan-kawan yang Puasa. Bersabar, cuba jangan makan gelojoh depan yang berpuasa, terutama di bazar Ramadan,” tulisnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini