KUALA LUMPUR 6 Mei – Sebuah rumah teres yang diubah suai menjadi pejabat di Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar Utama, di sini musnah dalam kebakaran sebentar tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasanpada pukul 12:09 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Seputeh, Sri Hartamas dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Menurut komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamid Daud, pasukan bomba dengan kekuatan 43 anggota tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian dan mendapati rumah teres tersebut musnah 100 peratus dalam kebakaran.
“Selain itu, sebuah lori satu tan yang diletakkan berhampiran rumah tersebut turut terbakar 100 peratus manakala sebuah kereta Proton Wira musnah 20 peratus,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.45 tengah hari dan kejadian tidak melibatkan mangsa. – UTUSAN ONLINE











