KUALA LUMPUR 6 Mei- Sebanyak 91 kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan jumlah kerugian RM767,171.04 dicatatkan di Sarawak sejak sepanjang tahun ini bermula 1 Januari lalu hingga semalam.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya juga menahan sebanyak 12 orang berhubung kes penipuan pinjaman tidak wujud pada tempoh sama.
Beliau berkata, masyarakat di Sarawak diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan menyemak kesahihan sesuatu perkara yang memerlukan mereka membuat pembayaran pendahuluan.
“Kecuaian ini boleh mendatangkan masalah kepada masyarakat kerana mereka sudah semestinya dalam kesusahan sehingga ingin membuat pinjaman wang tetapi mereka ditipu pula oleh sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui media sosial iaitu Facebook atau aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, WeChat, Instagram dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut beliau, masyarakat juga dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman wang daripada institusi kewangan yang sah, koperasi berdaftar atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen jika benar-benar terdesak untuk membuat pinjaman.
Tegasnya, pinjaman yang dibuat orang ramai ini tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Suruhanjaya Koperasi 2007, Akta Koperasi 1993, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan sebagainya.
Selain itu, katanya, masyarakat juga dinasihatkan agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank kepada mana-mana pihak sama ada dikenali atau tidak.
“Sekiranya masyarakat mempunyai apa-apa kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu, anda boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-211 1222.
“Mereka juga boleh melayari portal rasmi http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/# untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











