KOTA BHARU 6 Mei – Mohd. Syaril Sulaiman, 44, suami kepada Hasliza Arini Muhamad, wanita yang maut bersama anak bongsu mereka, Muhammad Khalish Kautsar dalam nahas di Raub, Pahang pagi Sabtu lalu masih bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raub.
Mangsa yang kritikal dan masih tidak sedarkan diri bagaimanapun memberi respons positif ketika dua lagi anaknya yang terselamat dalam kemalangan iaitu Khaliesa Khairina Mohd. Syaril, 7, dan Dhia Afriena, 5 melawatnya di hospital semalam.
Sapinah Hussain, ibu kepada Allahyarham Hasliza Arini memberitahu, apabila dua beradik tersebut memegang tangan Mohd. Syaril, tangannya itu dikatakan mula bergerak-gerak.
“Dia seolah-olah mahu membalas genggaman anak-anak namun tidak mampu kerana masih lemah dan belum sedar sepenuhnya.
“Buat masa ini doktor beritahu keadaan menantu saya itu semakin baik tetapi masih belum boleh dipindahkan ke wad biasa kerana perlukan penjagaan rapi,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Kelaboran, di sini hari ini.
Sapinah dalam pada itu memberitahu, Khaliesa Khairina dan Dhia Afriena yang dibenarkan keluar dari hospital sejak semalam kini dijaga keluarganya dan setakat ini kedua-dua kanak-kanak tersebut tidak mengetahui nasib menimpa ibu dan adik bongsu mereka.
“Berbanding kakaknya, Khaliesa Khairina yang leka bermain dengan saudara-mara, Angah (Dhia Afriena) nampak muram dan merengek sejak semalam mahukan ibunya. Dia memang manja dengan arwah.
“Hari ini mereka berdua belum berpuasa. Kita tidak mahu paksa dan akan cuba didik mereka perlahan-lahan. Lagipun keadaan dua cucu saya itu masih lemah,” katanya.
Terdahulu, Sapinah sebagai waris Hasliza Arini menerima kunjungan rombongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri diketuai Pengarahnya, Nora Yaacob yang turut menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.
Nora memberitahu, selain FPM, suami Hasliza Arini bakal menerima bayaran Pencen Penakat sebanyak RM1,318.14 sebulan yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun banknya.
“Bayaran pencen bulanan ini dibayar sepanjang hayat suami arwah manakala syer pencen untuk anak-anak arwah pula akan dibayar sehingga mereka mencapai umur 21 tahun.
“Pihak kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga arwah seterusnya dapat meneruskan kelangsungan hidup selepas kejadian itu,” katanya.
Dalam tragedi pukul 2.45 pagi Sabtu, enam maut termasuk seorang bayi perempuan apabila dua kereta jenis Perodua Myvi dan Kancil bertembung di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Simpang Ruan, Raub, Pahang.
Kejadian tragis itu meragut nyawa dua penumpang Perodua Myvi, Hasliza Arini, 34 dan Muhammad Khalish Kautsar, 2, manakala suami mangsa, Mohd Syaril, serta dua anak mereka Khaliesa Khairina dan Dhia Afriena cedera.
Turut maut, empat beranak pemandu Perodua Kancil iaitu Nasrul Fakhri Mansor, 38, dan isterinya, Hartini Moktar, 37, serta dua anak mereka, Nur Faqihah, 4, dan Nur Fateen Sufi yang berusia setahun.
Anak sulung pasangan itu, Muhammad Haziq, 10, dan adiknya, Nur Fathiyah, 8, mengalami kecederaan parah. – UTUSAN ONLINE











