Polis tahan dua lelaki miliki heroin 189.15 gram - Utusan Malaysia

Polis tahan dua lelaki miliki heroin 189.15 gram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 6 Mei – Polis menahan dua lelaki dan merampas 31 botol plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 189.15 gram dalam dua serbuan di daerah ini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, penganggur berusia 45 tahun dan adik iparnya yang merupakan warga Thailand berumur 14 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi di dalam sebuah kereta di Jalan Kampung Padang Midin oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.

Katanya, polis terpaksa memecahkan pintu cermin kereta kerana suspek enggan membuka pintu dan hasil pemeriksaan menemukan 17 botol plastik bertudung kuning yang disyaki dadah jenis heroin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ekoran daripada tangkapan pertama dan soal siasat ke atas suspek telah membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Kampung Balai Maras di sini dan menjumpai 14 botol plastik mengandungi dadah jenis sama di bilik berasingan.

“Semua dadah yang dianggarkan bernilai RM12,400 itu berkemungkinan untuk pasaran di sekitar Kuala Terengganu, Marang serta Wakaf Tapai dan mereka juga dipercayai baharu menjalankan kegiatan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Allaudeen berkata, siasatan mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod lampau dan ujian saringan air kencing adalah positif.

Katanya, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Honda yang dipercayai milik suspek pertama dengan kedua-duanya kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini