KUALA LANGAT – Angkara kecewa dalam bercinta, seorang bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) nekad membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Carey di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, lelaki berusia 28 tahun bagaimanapun terselamat apabila dihanyutkan arus deras hingga kawasan tebing sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang, Mohd. Hafizie Hassan berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.48 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki terdampar di tebing sungai selepas dihanyutkan arus deras.
“Difahamkan lelaki itu telah terjun dari Jambatan Pulau Carey untuk membunuh diri. Tetapi mangsa selamat selepas dihanyutkan arus berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Hafizie menambah, pihaknya kemudiannya ke tebing sungai dengan menaiki bot dengan bantuan nelayan tempatan.
Jelas beliau, operasi menaikkan mangsa ke atas bot menghadapi kesukaran berikutan tebing sungai dipenuhi dengan lumpur.
“Kita hanya menemui kad anggota Rela yang telah tamat tempoh pada diri mangsa dan kes ditamatkan pukul 4 petang,” katanya – K! ONLINE











