BERLIN 5 Mei – Bayern Munich semakin hampir menjuarai Bundesliga buat kali ketujuh berturut-turut selepas Borussia Dortmund sekadar berkongsi satu mata selepas seri 2-2 menentang Werder Bremen.
Dortmund mendahului dua gol bagaimanapun kesilapan penjaga gol, Roman Buerki membuka ruang kepada lawan untuk menyamakan kedudukan dan keputusan tersebut menyebabkan mereka ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayern.
Buerki membiarkan bola rembatan Kevin Moehwald melepasi celah kangkang sebelum bekas bintang Bayern, Claudio Pizarro menyamakan kedudukan sekali gus menafikan dua gol Dortmund dari Christian Pulisic dan Paco Alcacer.
Dortmund mengatasi Bayern sembilan mata pada Disember lalu dan kini perlu merapatkan defisit empat mata dalam dua perlawanan terakhir musim ini. – AFP











