KUALA LUMPUR 5 Mei- Polis menahan reman penunggang motosikal yang dipercayai memukul seorang wanita serta mengeluarkan kata-kata kesat dalam kejadian di Jalan Dato Keramat, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, suspek berusia 37 tahun itu direman selama empat hari bermula Jumaat lalu hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
“Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, polis menahan lelaki itu di Kampung Dato Keramat pada Khamis lalu.
“Hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khamis lalu, tular sebuah video menunjukkan seorang wanita ditumbuk dan ditampar pada bahagian muka oleh suspek.
Terdahulu, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civic di laluan kiri di Jalan Dato’ Keramat di sini tiba-tiba didekati seorang lelaki menaiki motosikal jenis Honda Dash datang dari arah belakang kereta tersebut.
Lelaki itu kemudian telah memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadu dan menuduh pengadu memasuki simpang tanpa memberikan isyarat lampu
Penunggang motosikal itu kemudian telah membuka topi keledar sebelum menghentaknya di atas bumbung kereta pengadu.-UTUSAN ONLINE











