KUALA LUMPUR 4 Mei – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun sebanyak 50 peratus sepanjang bulan Ramadan ini bermula 6 Mei hingga 4 Jun ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pelaksanaan kempen berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun mereka.
“MBSA membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.
“Antara jenis-jenis kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan 50 peratus ini termasuk Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Establisemen Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007,” katanya.
Tambahnya, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.
“MBSA juga turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam on Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasaraya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.
Katanya, orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam, Selangor.
Sebarang pertanyaan berhubung kompaun, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882 atau 03-5510 5133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my. – UTUSAN ONLINE











