TAIPING 3 Mei – Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas dan bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Ipoh-Butterworth dekat Kamunting di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, B. Thilagar, 39, yang menunggang motosikal jenis Yamaha maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 19 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kemalangan berlaku melibatkan motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah Taiping menghala ke Tol Kamunting manakala kereta berkenaan pula dari lorong bertentangan.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal berkenaan telah terbabas lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut.
“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta yang merupakan seorang pelajar lelaki tidak cedera.
“Punca kemalangan dipercayai akibat mangsa terbabas ketika menunggang motosikal dan masuk ke lorong bertentangan. Siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE











