PUTRAJAYA 3 Mei – Sebanyak 4,526 masyarakat Bajau dikenal pasti tidak mempunyai kad pengenalan kerana terdapat masalah berkaitan dokumen ketika membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Bajau Tanjung Kling Melaka, Wan Zuhaimi Wan Ridzwan berkata, jumlah tersebut melibatkan masyarakat berkenaan yang menetap di Semenanjung sahaja.
“Antara masalah yang dikesan adalah kad pengenalan lama mereka gagal diperbaharui kerana keraguan pada maklumat sedia ada dan kegagalan JPN mengesan maklumat lama pemohon.
“Selain itu, ada juga kes melibatkan kad pengenalan diguna pakai oleh pihak lain, sijil lahir yang tidak jelas taraf warganegara serta tidak mempunyai sijil lahir akibat kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut Wan Zuhaimi berkata, pihaknya telah mengadakan rundingan bersama JPN bagi menyelesaikan masalah berbangkit sebagai usaha membela nasib masyarakat Bajau.
Justeru, katanya, satu program memohon kad pengenalan dan sijil lahir komuniti tersebut akan dilakukan secara berperingkat bermula Julai nanti, melibatkan kerjasama JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Bagi menyelesaikan isu berkenaan, pihak persatuan akan menyusun semula dokumen mereka yang terlibat dan membantu dari segi perundangan agar permohonan lengkap boleh dihantar ke JPN dan KDN.
“Kita akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan lain bagi menguruskan dokumen berkenaan bagi memastikan permohonan dapat dilakukan mengikut perlembagaan persekutuan sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











