Malaysia ke pentas akhir - Utusan Malaysia

Malaysia ke pentas akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mei – Ngauman Malaysian Tigers menggegarkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil apabila berjaya mengesahkan slot ke pusingan akhir Kelayakan Sukan Olimpik 2020 pada November ini selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Austria dalam aksi separuh akhir Siri Akhir FIH, hari ini.

Melangkah ke saingan akhir esok bermakna Malaysia telah meraih salah satu daripada dua slot ke perlawanan kelayakan Sukan Olimpik yang ditawarkan menerusi Siri Akhir FIH di Kuala Lumpur dalam masa sama selangkah merealisasikan sasaran muncul juara kejohanan ini.

Di pentas akhir esok, Malaysian Tigers bakal menentang pasukan ranking terbaik kejohanan, Kanada yang turut meraih kemenangan 3-1 ke atas China.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak 1964 menyaksikan kelebihan banyak memihak skuad Malaysian Tigers menentang Kanada.

Sepanjang tempoh pertemuan 55 tahun tersebut menyaksikan Malaysia telah meraih 12 kemenangan, dua seri dan sekadar empat kali kalah menentang Kanada.

Sementara itu, dalam perlawanan hari ini menyaksikan gol awal dijaringkan oleh Malaysian Tigers pada minit ke-11 hasil pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan dengan baik oleh Faizal Saari.

Bagaimanapun pada suku ketiga Austria mula mempamerkan kebangkitan apabila dapat menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-32 hasil gol padang daripada Leon Thornblom.

Pemain negara, Muhammad Marhan Mohd. Jalil kembali meletakkan skuad kebangsaan selepas memanfaatkan dengan baik pukulan sudut penalti pada minit ke-55 untuk gol kedua.

Dua gol tersebut memberikan tekanan ke atas Austria sekali gus memudahkan Malaysian Tigers menambah gol ketiga pada minit ke-58 menerusi Meor Muhamad Azuan Hassan hasil jaringan padang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini