KUALA LUMPUR- Seramai 37 Keluarga Pangsapuri Blok F Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur yang ditempatkan di Dewan Seberguna AU2 Taman Keramat sudah dibenarkan pulang bermula pukul 8 pagi esok.
Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, penduduk pangsapuri berkenaan akan dibenarkan pulang selepas keadaan struktur pangsapuri telah disahkan selamat.
Menurut beliau, masih terdapat kerja pembaikan struktur yang retak terutamanya di bahagian rumah penduduk dan kawasan tangga walaupun sudah dibenarkan pulang.
“Penduduk diharap dapat memberikan kerjasama sehingga kerja membaiki keretakan pulih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fairuz berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menjalankan memantauan berterusan selama enam bulan dengan bantuan agensi berkenaan.
“Kontraktor yang dilantik PKNS akan melaksanakan kerja baik penambahbaikan sehingga bangunan tersebut kembali pulih sepenuhnya,” jelasnya.
Kosmo! Online melaporkan semua penghuni Pangsapuri Blok F Taman Keramat Permai diarahkan berpindah selepas terdapat keretakan serius yang boleh memberi risiko pada Jumaat lalu jika perpindahan tidak dilakukan segara. – K! ONLINE











