Reputasi Australia tergugat - Utusan Malaysia

Reputasi Australia tergugat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Status kontinjen Australia sebagai juara bertahan keseluruhan mula menimbulkan tanda-tanya apabila terlepas satu demi satu emas pada kejohanan Piala Dunia FIT Touch 2019 di Taman Ekuestrian Putrajaya di sini hari ini.

Gagal mempertahankan emas kategori Lelaki 40 Tahun (L40) yang dimenangi mereka di laman sendiri pada kejohanan empat tahun lepas apabila dikejutkan New Zealand 6-8, duka skuad Australia juga tidak terhenti di situ apabila dijinakkan lawan yang sama bagi kategori Lelaki 50 Tahun (L50) dengan kekalahan 5-9 semalam.

Terbaharu dalam aksi final kategori Wanita 27 Tahun (W27) petang tadi, skuad The Kangaroos juga gagal menyaingi kepantasan New Zealand apabila tumpas 4-5.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kekecewaan Australia begitupun sedikit terubat bagi kategori Lelaki 45 Tahun (L45) apabila berjaya mengatasi New Zealand dengan kemenangan tipis 5-4 dalam satu lagi aksi final yang sedikit kontroversi apabila touch down New Zealand dibatalkan pengadil pada saat-saat akhir perlawanan gara-gara melakukan foul. 

Ia merupakan emas kedua Australia pada kejohanan edisi kesembilan kali ini selepas terlebih dahulu berjaya memadam cabaran New Zealand 8-0 menerusi kategori Wanita 35 Tahun (W35) semalam.

Justeru, Australia tidak mempunyai pilihan selain memenangi kesemua baki aksi final pelbagai kategori yang akan berlangsung esok seandainya berhasrat untuk memintas kedudukan New Zealand, sekali gus mempertahankan status sebagai juara bertahan keseluruhan.

Jurulatih TL Australia, Tony Tradd bagaimanapun mahu mengetepikan sentimen di luar padang apabila tidak mahu anak-anak buahnya terlalu ghairah mempertahankan kejuaraan kerana dikhuatiri boleh memakan diri sendiri.

“Masih ada lawan yang perlu dihadapi di peringkat separuh akhir, jadi ia memang terlalu awal buat saya memperkatakan kemampuan pasukan kami bagi mempertahankan kejuaraan.

“Yang paling utama, kesemua pemain tidak boleh terleka walaupun sesaat termasuk membuat kesilapan mudah yang boleh dimanfaatkan pasukan lawan,” katanya.

Pada aksi separuh akhir kategori TL esok, skuad kendalian Tradd akan melayan kunjungan Amerika Syarikat sementara New Zealand pula berdepan cabaran Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini