HSS Integrated diarah mulakan kerja ECRL - Utusan Malaysia

HSS Integrated diarah mulakan kerja ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mei – HSS Integrated Sdn. Bhd. (HSSI), syarikat sekutu HSS Engineers Bhd., telah diarahkan oleh China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. untuk menyambung semula perkhidmatannya bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pada 2018.

Di bawah dua kontrak yang dimeterai terdahulu, HSSI menyediakan khidmat perunding penyeliaan untuk kerja-kerja pembinaan serta reka bentuk terperinci dan khidmat perunding reka bentuk lukisan untuk kerja-kerja infrastruktur bagi ECRL.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, perunding kejuruteraan dan pengurusan projek itu berkata, HSSI menerima surat daripada China Communications Construction bertarikh 26 April dan 30 April, yang memintanya untuk memulakan semula kerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malaysia dan China baru-baru ini setuju untuk meneruskan semula projek kereta api itu selepas perjanjian tambahan dirundingkan semula, yang membawa kepada pengurangan kos sebanyak 32.8 peratus atau RM21.5 bilion daripada harga asal sebanyak RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

”Oleh kerana peralihan jajaran ECRL, akan ada semakan semula terhadap skop perkhidmatan dan bayaran HSSI,” kata HSS Engineers dalam kedua-dua maklumannya itu. Sebelum ini, kedua-dua kontrak itu dianggarkan bernilai sehingga RM107.5 juta.

Syarikat itu berkata, penyambungan semula kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan dan pendapatannya tetapi ia hanya dapat menilai kesan kewangan sebenar selepas skop perkhidmatan dan bayaran HSSI dimuktamadkan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini