PUTRAJAYA 3 Mei – Dakwaan mengatakan pegawai-pegawai yang sedia ada di Unit Sejarah Kementerian Pendidikan telah digantikan dengan pegawai baharu yang tidak berlatarbelakangkan sejarah adalah tidak benar sama sekali.
Kementerian dalam satu kenyataan di sini hari ini menegaskan, tiada sebarang pertukaran pegawai dilaksanakan sejak 2017.
“Oleh itu, kementerian menegaskan bahawa sehingga kini sistem dan dasar pendidikan sedia ada masih kekal.
“Tulisan yang sedang tular di media sosial merupakan satu tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab dengan niat memburukkan imej kementerian,” katanya.
Kenyataan itu memberitahu, kementerian turut memandang serius tulisan di media sosial yang mendakwa ada ‘pasukan de facto DAP’ dalam kementerian yang mahu mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan sekolah menengah.
Menurut kenyataan itu lagi, dakwaan berkenaan merupakan satu tuduhan liar yang dikitar semula dan berunsur fitnah meskipun pernah diperjelaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 23 Disember lalu.
Jelas kenyataan itu, Kurikulum Kebangsaan termasuk subjek Sejarah akan terus kekal melainkan jika terdapat cadangan atau saranan yang baharu daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD).
MPPK dan JKD tambah kenyataan itu, sedang dalam proses menjalankan kajian dan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan dan syor penambahbaikan menyeluruh ke atas sistem pendidikan Malaysia termasuk dari aspek sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.
“Untuk rekod, semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah bermula pada tahun 2017, sebelum Plihan Raya Umum ke-14, di mana kementerian mengambil usaha berterusan untuk menambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran.
“Sehubungan itu, dapatan jawatankuasa, kurikulum dan buku teks termasuk Sejarah akan diteliti semula berdasarkan pandangan dan laporan akhir daripada MPPK dan JKD,” katanya.











