KUALA SELANGOR – Seorang ibu tidak lena tidur sejak 11 hari lalu selepas anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas keluar daripada rumah mereka di Kampung Permatang di sini.
Muhammad Amirul Izwan Mohd Isa, 25, yang merupakan OKU kategori lembam tidak pulang ke rumah selepas keluar menaiki motosikal jenis Honda Wave 110 kira-kira pukul 9 malam pada 23 April lalu.
Siti Aminah Jakon, 52 berkata, anak sulung daripada lima beradik itu dikatakan mudah mengikut kata-kata seseorang jika diberikan sesuatu.
Katanya, Muhammad Amirul juga tidak membawa sebarang dokumen peribadi ketika keluar dari kediaman mereka itu.
“Saya tidak tidur lena memikirkan keselamatan anak saya itu.
“Apa yang diharap kan adalah supaya Muhammad Amirul segera kembali dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Siti Aminah, dia sekeluarga dibantu jiran tertangga ada mencari Muhammad Amirul setiap hari sehingga ke Sekinchan namun tidak menunjukkan sebarang hasil positif.
Sehubungan itu, Siti Aminah menegaskan dua laporan polis telah dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 24 April dan semalam.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Amirul boleh menghubungi saya di talian 017-2131931 atau 018-2810256,” katanya. – K! ONLINE











