TEMERLOH 3 Mei – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah mental hilang sejak Jumaat lalu selepas keluar dari rumahnya di Batu 4 Jalan Maran dekat sini dengan menunggang motosikal.
Mohd. Shahidan Mohd. Yusoh, 35, hanya membawa wang tunai sebanyak RM5 ketika keluar dari rumahnya itu dan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit.
Adiknya, Siti Norsalimi, 29, berkata, sebelum ini, abangnya pernah menghilangkan diri tetapi tidak dalam tempoh yang lama seperti pada kali ini.
“Pada mulanya, kami fikir mungkin abang akan balik juga tetapi sampai sekarang tidak pulang menyebabkan kami risau dan membuat laporan polis Isnin lalu.
“Kami berharap sesiapa yang ternampak dan tahu ke mana dia pergi supaya dapat menghubungi balai polis berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Menurut Siti Norsalimi, abangnya yang juga anak keenam daripada 13 beradik itu hanya memberitahu ibunya hendak keluar membeli rokok pada Jumaat lalu.
Katanya, maklumat yang dimaklumkan polis menyatakan kali terakhir abangnya ditemukan di sebuah bengkel kenderaan di Batu Balai Jerantut.
“Abang saya seorang pendiam dan berkulit gelap, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenainya boleh juga menghubungi talian 010-8984608,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











